Laman Utama

tar

Kembalinya Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 mengejutkan semua pihak kerana tiada siapa tahu penyakit yang dihidapi beliau. Ramai berpendapat bahawa cara terbaik untuk mengenang jasa Tun ialah dengan menubuhkan sebuah yayasan yang boleh menyambung dan meneruskanperjuangan murni beliau.  Justeru, pada 20 Februari 1976, di satu majlis anjuran akhbar ‘The New Straits Times’, sebuah yayasan telah dilancarkan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan Malaysia ketika itu.  Yang Amat Arif Tun Mohamed Suffian, Ketua Hakim Negara ketika itu dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak yang pertama.  Dalam masa sama, beberapa institusi lain turut dirancang dan ditubuhkan dengan tujuan yang sama.  Untuk mengelakkan kekeliruan serta salah faham, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan pada Mac 1976 untuk menyatukan institusi-institusi berkenaan.  Justeru, pada Julai 1976, satu rang undang-undang telah diluluskan oleh Parlimen dan seterusnya diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 28 Oktober 1976. Rang Undang-undang tersebut dikenali sebagai Akta Yayasan Tun Razak.

Objektif

Objektif Yayasan Tun Razak ialah:-

  • Untuk mengekalkan nama baik Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak;
  • Untuk mencapai hasrat dan mengekalkan jasa baik Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak;
  • Untuk menanam dan menggalakkan saling persefahaman antara kumpulan-kumpulan kaum dan manusia;
  • Bagi menggalakkan keamanan dan persefahaman antara bangsa-bangsa; dan
  • Untuk memperbaiki taraf pendidikan dalam semua lapangan dan meninggikan taraf kehidupan rakyat.