Tun Hajah Rahah

tunrahah

Tun pendiam orangnya, tidak pernah menonjolkan diri, tetapi mempunyai kekuatan yang tersendiri. Demikian Tun Hajjah Rahah, anak bongsu kepada Tan Sri Haji Mohd Noah, isteri paling sempurna bagi  Tun Abdul Razak.

Pada 4 September 1952, sebaik sahaja meninggalkan Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru, Johor Tun Hajjah Rahah, 19 tahun telah berkahwin dengan Datuk Abdul Razak yang berumur 30 tahun yang ketika itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Pada ketika itu, seperti yang diakuinya sendiri, beliau hanya bersedia untuk menjadi seorang isteri dan ibu sahaja.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 5 orang putera iaitu Mohd Najib, Ahmad Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohd Nazir. Tun Hajjah Rahah memang mengharapkan kedatangan anak perempuan dan setiap kali mereka mendapat anak lelaki, Allahyarham Tun Abdul Razak memberitahu rakannya “sama sahaja” dan “kita tidak boleh hampa dengan pemberian Tuhan”.

Sebagai seorang ibu, Tun Hajjah Rahah telah menanggung sebahagian besar daripada tugas mengasuh dan mendidik putera-puteranya. Beliau terpaksa menjadi ibu dan ‘bapa’ kepada anak-anaknya yang masih menuntut di universiti. Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia, beliau memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak sehingga mereka berjaya dalam lapangan masing-masing. Pilu dan sepi kehilangan suami  tercinta kini terubat  jua melihat anak-anak dan cucu-cucunya hidup bahagia.

Sebagai seorang isteri, Tun Hajjah Rahah telah menyediakan rumahtangga yang sempurna untuk suaminya, seorang tokoh yang sentiasa bekerja kuat untuk negara, bangsa dan agama. Kekentalan semangat beliau dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi menjadikan beliau seorang teman seperjuangan yang setia dan bertanggungjawab. Sifatnya yang lemah lembut, sederhana dan bersahaja adalah resepi utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat di kampung dan bandar. Sifatnya yang sederhana ini amat bersesuaian dengan kehendak suaminya yang tidak mahu isterinya menunjuk-nunjuk serta berlebih-lebihan dalam semua hal. Sifat ini jugalah yang banyak membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.

Sebagai teman hidup, Tun Hajjah Rahah selalu mengiringi suaminya menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Beliau juga memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihanraya, berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Tun Hajjah Rahah telah membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu memberi sumbangan yang berkesan kepada pembangunan negara. Beliau sentiasa mengingatkan kaum wanita agar melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan khususnya untuk wanita di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti ke arah kemajuan negara. Dalam erti kata sebenar, Tun Hajjah Rahah adalah seorang tokoh yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang nasib rakyat Malaysia.