MENARA YAYASAN TUN RAZAK

menara

Menara Yayasan Tun Razak (YTR) merupakan satu lagi mercu tanda menarik dan berdiri teguh di lokasi strategik dalam kawasan segi tiga emas Bandaraya Kuala Lumpur di atas sebidang tanah seluas 68,523 kaki persegi beralamat di No. 200, Jalan Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur.

Menara YTR mempunyai satu blok menara setinggi 22 tingkat dengan tiga tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah. Keluasan lantainya adalah 40,000 kaki persegi

Ia dibina sebagai mengenang jasa bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak kepada negara. Majlis pecah tanah bagi membangunkan menara ini telah disempurnakan YA Bhg. Tun Hajjah Rahah Tan Sri Hj. Mohd Noah. Pembinaannya dimulakan pada 9 Mei 2000 dan siap sepenuhnya pada 15 Jun 2004 serta menerima Sijil Perakuan Layak Menduduki pada 14 Julai 2004. Menara YTR telah dirasmikan oleh YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi, pada 29 Mac 2005

Projek pembinaan menara ini dikendalikan oleh YTR Harta Sdn. Bhd, syarikat usahasama Yayasan Tun Razak dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). YTR memiliki 19 peratus ekuiti sementara KWSP memegang 81 peratus ekuiti.

Dengan tersergam megahnya Menara YTR, impian untuk sebuah organisasi yang bertujuan memanjangkan hasrat perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak akhirnya menjadi kenyataan.

menaradine

Selain daripada ruang pejabat, bangunan ini juga mempunyai sebuah ballroom berkeluasan 9,300 kaki persegi dikenal sebagai Tun Rahah Grand Hall dan kemudahan-kemudahan lain seperti medan selera, ‘health fitness center’‘roof garden’ dan surau.

Penyewaan bangunan diuruskan YTR Harta Sdn Bhd, iaitu syarikat usahasama KWSP-YTR manakala tempahan bagi Tun Rahah Grand Hall diuruskan Restoran Sri Melayu.

LOKASI MENARA

Bangunan Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur, 50450 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia